Kerja, kerja
Sunday, July 29th, 2007Setelah menyingkap kembali perjalanan hidupku selepas entry bercuti di negara orang, aku dapati rupa-rupanya sudah banyak juga perkara ku lalui sepanjang cuti summer ini. Memanah, pindah rumah, belajar Bahasa Arab, jadi host kepada rakan-rakan yang turun ke London, kerja dan macam-macam lagi.
Selepas pindah rumah, aku mula belajar Bahasa Arab. Dalam masa yang sama, aku cuba mencari peluang pekerjaan bagi mengisi masa lapang dan kocekku. Dalam minggu kedua pengajian Bahasa Arab, aku dipanggil untuk temuduga kerja di IS department Uni ku. Beberapa hari kemudian pula, aku diminta untuk mengisi kekosongan kerja sebagai receptionist di sebuah bangunan London ini. Hatiku terasa agak berat untuk menerima permintaan tersebut kerana aku merasakan kerja di IS department lebih menarik dan mencabar. Namun demikian, setelah menimbang pro dan kotra antara dua pekerjaan tersebut, akhirnya aku memutuskan untuk bekerja sebagai receptionist.
Tanggal 13 Julai, aku memulakan latihan sebagai seorang receptionist.
Tugas aku pada hari itu agak berat kerana ramai orang yang chek-in pada hari tersebut. Minggu berikutnya merupakan minggu yang paling berat bagiku kerana aku belajar dan bekerja setiap hari. Pada sebelah pagi, aku menghadiri kelas selama 4 jam. Kemudian selepas solat Zohor, lunch dan berehat sebentar, kira-kira pukul 3.30 petang, aku terus ke tempat kerja. Habis kerja pukul 12 tengah malam, maka tak dapat hafal vocab dan siapkan homework. Walaupun kerja tak seteruk builder, aku tetap rasa letih yang amat sangat. Mungking sebab tak cukup rehat. Suatu hari, oleh kerana letih yang amat sangat dan tak siap homework, aku rasa malas sangat nak pergi ke kelas Bahasa Arab. Namun setelah dinasihati oleh Shafiq Aymand, aku pergi juga.
Apa yang menarik pasal bekerja sebagai receptionist ini adalah kawan-kawan di London ini memberi sokongan yang penuh kepadaku dan mereka juga excited apabila mengetahui aku bekerja di tempat tersebut. Ada yang datang jenguk tengok aku bekerja, ada yang telefon menyamar sebagai customer kacau aku dan kadang-kadang kami bersama-sama makan malam di kantin dekat bangunan tersebut. Thanks guys. Selain itu, ada juga yang terkejut apabila nampak aku bekerja di meja recptionist di situ, kebanyakannya kawan-kawan yang belajar di luar London.
Kerja sebagai receptionist, lapan jam sehari sungguh memenatkan, maklumlah sebelum ini biasanya aku selalu lepak kat rumah ajer. Bila letih kerja ni, teringat cerita Ust Hasrizal yang sentiasa sibuk. Sekarang dapat faham akan cabaran yang beliau hadapi dengan lebih baik. Rasa kagum dengan ketabahan beliau menghadapi cabaran sebegitu. Bila aku komplen kat Shafiq Aymand pasal tak larat kerja, dia kata medic students dan doctors lagi letih kalau nak banding kerja aku tu. Beban kerja diorang berat dan waktu bekerja agak lama juga. Mendengar cerita beliau membuatkan aku insaf dan sedar bahawa ada orang yang menghadapi cabaran yang lebih hebat dari aku. Redha sahajalah…
Walaupun receptionist merupakan watak kecil sahaja di tempat aku bekerja itu, namun amanah dan tanggungjawab yang dipikul agak besar. Tanggungjwab menjaga keselamatan pelawat, bangunan, wang dan harta dalam bangunan tersebut terletak di atas bahu receptionist. Aku boleh menerima atau menolak permohonan orang untuk sewa bilik. Kalau mahu aku boleh saja bagi orang masuk bilik tanpa bayaran, tapi itu pecah amanah namanya. Kadang-kadang aku terpaksa menghampakan pelawat ataupun orang yang menelefon kerana tidak dapat membantu mereka apabila bilik penuh ataupun atas sebab-sebab yang lain.
Walaupun kuasa yang ada padaku ketika itu sangat kecil, namun cabaran tetap ada. Ada sesekali , pelawat (bukan pelajar undergrad) suruh aku tipu, bagi harga student walapun dia tidak layak mendapat diskaun tersebut. “Tulis ajer student, bukan ada orang tahu!” katanya. Ada juga yang kata tak tolong member. Semasa bekerja di sini, kadang-kadang dapat benda free dari pelawat-pelawat dan juga beberapa keistimewaan seperti teh tarik free sebab kenal tauke kantin. Seronok juga rasanya.
Berdasarkan situasi yang aku hadapi ini, aku boleh faham macam mana orang boleh terjerumus dalam gejala rasuah walaupun pada mulanya orang itu adalah orang yang ‘baik’. Mula-mula masa jadi pegawai rendah, tipu sikit-sikit sebab orang tak tahu, lepas tu lama-lama dah jadi habit tak rasa apa. Ditambah pula orang selalu kasi hadiah, belanja dsb. Mula jadi bias, kronisme. Bila naik pangkat jadi pengarah sebuah jabatan atau kementerian, deal dengan projek yang besar-besar, setiap satu bernilai puluhan juta ringgit. Masa tu pula minta 10%, 20%, 30% daripada kontraktor. Syaitan yang licik menghasut buat jahat, tak hasut kita terus buat yang teruk terus, dia hasut buat jahat sikit-sikit, step by step. (Ini hanyalah hipotesis aku berdasarkan extrapolasi pengalamanku yang sedikit)
Setelah sekian lama pasrah tak dapat intern dan kadang-kadang jeles tengok orang lain dapat intern, akhirnya aku dapat juga tawaran intern dua minggu lepas. Alhamdulillah, aku amat gembira. Maka pada hari Isnin yang lepas, aku berhenti kerja dan Kiko telah mengambil alih tugasku sebagai receptionist di Malaysia Hall London. Alhamdulillah, aku tidak menghadapi masalah meletakkan jawatan. Malah, pegawai-pegawai di sana mengucapkan selamat berjaya untuk intern kelak. Apapun pengalaman bekerja di sana merupakan sesuatu yang amat beharga dan menarik. Aku dapat kenal dengan bermacam-macam orang dari pelbagai latar belakang dan belajar melayan kerenah pelanggan macam-macam ragam.
Sekarang aku sudah nampak hikmah bekerja di Malaysia Hall berbanding kerja di Uni. Kalau kerjadi Uni mungkin susah nak berhenti. Aku terasa semua perkara yang aku lalui sebelum ini seolah-olah sudah diatur. Banyak perkara yang aku buat sebelum ini nampaknya seolah-olah tak ada perancangan langsung, sekadar mengikut peredaran masa. Tapi kini alhamdulillah, semuanya sudah jelas. Aku juga gembira kerana semua perkara yang dihajatkan dapat dicapai. Mungkin ini berkat doa ibu bapa dan juga sahabat-sahabatku. Doakan kejayaanku di tempat kerja baru pula.