Sehari dua ni bising sungguh pasal hak kebebasan akhbar dan perkauman . Pagi tadi tengok TV1 kat syoktv.net pun bincang pasal kebebasan akhbar. Baca utusan ( berita kat bawah) terasa lawak jugak, cuba fikir dalam2. Adakah pihak yang berkenaan mengaku dia menghasut ? Secara halusnya kalau dia kata Akta Hasutan tu berguna, seolah-olah dia kata, ” Ye, kitorang memang menghasut pun, kalau tak der akta hasutan tu korang tak leh nak wat apa2, Hahar!!!” Terpulanglah kepada korang macam mana nak tafsir dan terima berita tu, tapi bagi aku kelakar lah.
Laporan polis bukti DAP sokong Akta Hasutan
SUNGAI PETANI 26 Nov. – Tindakan DAP membuat laporan polis berhubung hujah-hujah ‘perkauman’ yang dikeluarkan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu membuktikan Akta Hasutan 1948 sebenarnya masih relevan untuk diguna pakai kerajaan.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, ini kerana, DAP yang sebelum ini dilihat berkeras mahu akta berkenaan dihapuskan kini kembali mengakui seolah-olah ada gunanya Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
‘‘Apabila DAP membuat laporan supaya meminta polis mengambil tindakan terhadap para perwakilan UMNO berhubung hujah mereka, maka ia secara langsung membuktikan bahawa DAP mengakui Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan.
‘‘Akta Hasutan jelas menunjukkan bahawa ia boleh diterima pakai dengan baik demi menjaga kepentingan semua kaum. Melalui laporan itu, DAP sendiri kini menunjukkan kepada kita bahawa mereka boleh terima dan anggap Akta Hasutan relevan sepanjang masa,’’ katanya.
Perangai
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis kenduri kampung Parlimen Merbok anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau dekat sini hari ini.
Menurut Zainuddin, tindakan tersebut juga menunjukkan ‘perangai’ sebenar pemimpin DAP yang sanggup berbuat apa saja asalkan ia mendatangkan keuntungan kepada mereka.
‘‘Sebelum ini mereka mahu sangat Akta Hasutan dihapuskan. Kini bila nampak akta ini menguntungkan dan memihak kepada mereka, DAP pun gunalah Akta Hasutan,’’ katanya.
Beberapa pemimpin DAP sebelum ini membuat laporan meminta polis mengambil tindakan terhadap segelintir perwakilan yang mengeluarkan hujah disifatkan perkauman pada Perhimpunan Agung UMNO lalu di bawah Akta Hasutan 1948.
Antara mereka yang tampil membuat laporan itu ialah Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Lau Weng Sann (18 November); Setiausaha DAP Perak, Ngar Kor Ming (19 November) dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Wilayah Persekutuan, Kuan Perk Siong (19 November).
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihatkan semua pihak supaya sentiasa menerima maklumat, nasihat dan pengetahuan yang sahih.
‘‘Kita perlu berhati-hati dengan penyebaran SMS, laman web yang tidak diketahui kesahihannya. Janganlah kita terpengaruh dengan berita yang tidak tahu hujung pangkalnya,’’ katanya.