Archive for the ‘Negara Islam’ Category

Negara Islam ?

Sunday, May 11th, 2008

Sebut saja pasal negara Islam pasti semua orang ada pendapat sendiri. Malah ia pasti menarik minat pelbagai pihak untuk memberikan pandangan masing-masing, tak kira samada muslim atau bukan. Ada yang menyokong, ada yang menentang dan ada juga yang tidak tahu apa-apa.Jadi, saya ingin mengajak anda berfikir sejenak. Apakah yang anda tahu tentang Negara Islam? Apakah maksud istilah ‘Negara Islam’ itu?

Sebenarnya, saya tergerak untuk berbicara tentang perkara ini setelah beberapa kali ditanya tentang Negara Islam oleh rakan saya. Minggu lepas, saya ditanya oleh kawan serumah tentang pandangan terhadap keperluan untuk mentakrifkan istilah Negara Islam. Saya berpendapat, ia perlu kerana dengan memberikan takrif dapat memberikan pandangan yang jelas terhadap sesuatu istilah. Sebab tu kita ada kamus. Berdasarkan perbincangan dengan beberapa orang, menurut mereka, definisi negara Islam itu ada pelbagai, ada sedikit perbezaan antara ulama’. Namun apabila ada perbezaan ini, kita tidak harus jumud terhadap satu definisi sahaja. Apa yang penting adalah kefahaman.

Jadi apa maksud Negara Islam? Adakah ia bermaksud sebuah negara yang mempunyai ramai orang Islam? Aku suka maksud yang diberikan oleh Kamal Helbawy. Islam bermaksud tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah. Maka orang Islam, maksudnya orang yang tunduk dan patuh kepada Allah, mengamalkan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bagi Negara Islam pula, ia adalah sebuah negara yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Dalam konteks kenegaraan, pemerintahan dan perundangan merupakan salah satu unsur yang sangat penting. Oleh yang demikian unsur-unsr ini juga tak boleh lari dari garis panduan Islam. Maka kalau sesebuah Negara nak jadi Negara Islam hendaklah memenuhi maksud Islam itu sendiri. Tak semestinya letak nama, tetapi apa yang lebih penting pada saya adalah substance. Sedikit digression, semasa saya berada di UK ini, banyak kali saya dengar orang kata, di negara Islam, kita boleh tengok ramai muslim tetapi tidak nampak Islam. Di Barat pula sukar mencari orang Islam tapi ada Islam itu jelas kelihatan. Mungkin nak kata mentauhidkan Allah itu tak nampak, tetapi konsep amanah, keadilan, kebebasan, kebersihan, ketepatan masa dan sikap menghargai ilmu jelas lebih baik dari negara-negara islam.

Kenapa muslim mahukan sebuah negara Islam? Sebenarnya saya tidak tahu apa pandangan orang lain. Tetapi bagi diri saya sebagai seorang individu, saya percaya bahawa Islam membawa rahmat keseluruh alam. Islam menawarkan sistem yang terbaik dalam menguruskan masalah manusia. Pendekatan yang dibawa oleh Islam adalah seimbang dan sesuai sepanjang zaman dan setiap masa. Saya juga faham Islam itu adalah cara hidup, ad-deen bukan sekadar sistem kepercayaan yang terhad kepada ritual sahaja. Oleh itu saya mahu hidup di bawah sistem Islam.

Di tanah air, kita dapat lihat pelbagai pihak yang memperjuangkan untuk menubuhkan negara Islam walaupun ada di antara mereka yang berbeza pendapat tentang kaedah yang terbaik dalam mencapai matlamat tersebut. Ada yang berpendapat kita perlu mengambil pendekatan pendidikan, ada yang berpendapat kita perlu memperbaiki akhlak dan ibahdah umat islam terlebih dahulu, ada yang memilih jalan politik, ada yang menolak dan ada juga yang memilih untuk memanfaatkan segala ruang yang ada.

Dalam arena politik negara ada dua pihak yang dilihat memperjuangkan negara Islam. Masing-masing menawarkan versi Negara Islam yang tersendiri. Sewaktu era pemerintahan dalam Tun Dr Mahathir, beliau megisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Apabila diganti oleh Pak Lah, konsep Islam Hadhari diperkenalkan. Pihak yang kedua pula adala PAS. PAS pula berpendapat konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah itu tidak tepat. Kalau begitu, bagaimanakah bentuk negara Islam yang dibawa oleh PAS? Apakah ianya terhad kepada undang-undang Hudud sahaja atau kebajikan sahaja? Saya tidak tahu. Saya cuba melihat media rasmi mereka seperti laman web rasmi dan harakahdaily. Kurang sekali bahan yang menerangkan dasar-dasar yang mereka perjuangankan terutamanya berkenaan model negara Islam yang mereka bawa. Laman web rasi selalu down. Harakah pula selalau komen tentang isu semasa sahaja. Kurangya usaha memberi penerangan secara menyeluruh yang tersusun ini amat menyukarkan orang-orang seperti saya untuk memahami agenda mereka. (Kalau mmg ada usaha, saya minta maaf in advance).

Saya masih lagi kabur dengan apakah model negara Islam yang sesuai dengan zaman sekarang. Apakah ia seperti di negara Iran atau Afghanistan atau Kelantan? Sudah pasti para pengibur, peniaga, kakitangan kerajaan, ahli sukan dan rakyat biasa pasti ingin tahu akan perkara ini kerana ia memberi kesan kepada kehidupan mereka. Gambaran negatif yang diberikan oleh media, seperti wanita ditindas, kebebasan bersuara disekat dan negara menjadi mundur sudah pasti menimbulkan ketakutan kepada orang ramai. Pihak yang ahli dalam hal ini perlu memberi penjelasan sebenar dan menjernihkan kekeruhan ini. Sejarah telah membuktikan bahawa Negara Islam yang wujud sewaktu zaman khalifah islam dahulu sebenarnya telah memeberi banyak manfaat kepada manusia tanpa mengira agama bukan sebaliknya.

Relevenkah bukan kepada bukan islam? Kenapa mereka mesti bernaung di bawah pemerintahan Islam. Saya juga tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perkara ini. Tetapi apa yang menarik, apabila mengikuti perkembangan pilihan raya bulan mac lalu, saya dapati ada sekumpulan orang bukan Islam yang menyokong konsep negara Islam. Malah salah seorang kawan saya sendiri menyatakan sokongannya. Jika mereka boleh menyokong, sudah tentu ada sesuatu yang menarik sehingga mereka yakin dengan konsep dengan degara islam dan menyokongnya walaupun mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Dalam membentuk Negara Islam pula ada macam-macam idea yang kita jumpa. Ada yang menyatakan bahawa negara Islam mesti mengikut sistem Khalifah sepertimana yang diamalkan dahulu. Persoalannya, adakah Islam menghadkan bentuk pemerintahan kepada apa bentuk yang tertentu sahaja atau ia memberi garis panduan tertentu dan terpulang kepada umatnya untuk menentukan apa yang terbaik. Apa yang lebih penting, form or substance? Kalau nak dibentuk negara islam mengikut konsep khalifah, timbu pula persoalan siapa yang akana jadi khalifah dan macam-macam lagi.

Kesimpulannya, topik negara islam ini merupakan satu topik yang sangat besar. Pelbagai perkara yang boleh dan perlu dibincangkan dan diselesaikan. Adalah menjadi tanggungjwab mereka yang ahli untuk memberi penerangan dan penjelasan. Kita sebagai orang biasa perlu terus berusaha mencari ilmu dan berbincang bagi menambah kefahaman.

Wallahua’lam.